Foto Terkini

14 May 2008

MARAH & RAGU-RAGU

Marah - Bagaimana menghadapinya

"Jangan marah, nanti kena jual." Ungkapan yang cukup popular dalam salah satu filem Allahyarham Tan Sri P. Ramlee. Marah merupakan salah satu emosi manusia. Walaupun emosi ini merupakan salah satu fitrah manusia, ia lebih banyak dikaitkan dengan keburukan. Emosi marah merupakan tindakbalas daripada perasaan yang lain seperti kecewa, takut, atau tidak puas hati. Marah tidak akan terjadi dengan sendiri tanpa ada sebab lain. Adalah normal bagi setiap manusia mempunyai perasaan marah, tetapi sekiranya ia keterlaluan, ini boleh memudaratkan diri sendiri dan orang lain. Jadi bagaimana untuk mengawal marah?

  1. Kenalpasti punca kemarahan tersebut. Kenapa anda berasa marah? Adakah kemarahan itu perlu?
  2. Tumpukan perhatian anda pada punca yang menyebabkan kemarahan itu. Daripada anda meluahkan perasaan marah tersebut adalah lebih baik anda menyelesaikan puncanya.
  3. Tarik nafas yang dalam dan hembus perlahan. Tutup mata dan dongakkan kepala ke atas sambil bernafas perlahan-lahan. Cuba tenangkan fikiran dengan memikirkan perkara yang digemari.
  4. Bertindaklah mengikut pemikiran, dan bukan mengikut emosi. Ini kerana tindakan melalui emosi lebih banyak mendatangkan kesan buruk, dan boleh membawa kemarahan.
  5. Apabila anda sedang marah, sekiranya anda berdiri, teruslah duduk.
  6. Basuh muka anda beberapa kali ketika sedang marah.
Ingatlah, kemarahan adalah suatu tindakbalas, dan bukannya punca atau penyelesaian.



Ragu-ragu - Perlu atau tidak?

Mengikut maksud umum, "ragu-ragu" boleh didefinisikan sebagai "perlakuan terkaku sejenak kerana tidak pasti atau tidak yakin." Kenapa kita perlu ragu-ragu? Sebenarnya, perlakuan ini ada hikmahnya. Ragu-ragu berkait rapat dengan sifat berhati-hati dan tidak terburu-buru. Ini dapat mengelakkan diri kita dari perkara yang tidak diingini. Ragu-ragu dalam perniagaan dapat mengelakkan kita dari kerugian. Ragu-ragu dalam mempercayai sesuatu khabar dapat mengelakkan kita dari ditipu. Inilah kebaikannya sikap ragu-ragu dalam diri kita.

Tetapi, sekiranya kita terlalu ragu-ragu, ia juga boleh mendatangkan kerugian dan memudaratkan diri sendiri. Apabila kita terlalu ragu-ragu, kita tidak berani membuat keputusan. Kita juga menjadi takut untuk membuat kesilapan, menyebabkan kita tidak berani untuk mengambil inisiatif untuk melakukan sesuatu yang baru. Sikap ragu-ragu yang melampau juga akan menyebabkan kita menjadi mundur dan ini akhirnya akan merugikan diri kita sendiri.

Oleh itu, ketika kita ragu-ragu terhadap sesuatu, cuba amalkan langkah berikut:
  1. Fikirkan punca keraguan kita terhadap sesuatu perkara. Kenapa kita merasa ragu-ragu terhadap perkara tersebut. Dan adakah keraguan itu perlu.
  2. Cari bukti untuk menyokong sesuatu perkara. Bukti tersebut perlu disahkan oleh pihak berkaitan dan sahih, sebelum kita menerima atau menolak sesuatu perkara.
  3. Tenangkan fikiran sebelum membuat keputusan. Jangan terburu-buru mengambil tindakan.
  4. Tanya pendapat orang lain, dan buat kesimpulan setelah mendapat pandangan ramai, tetapi pastikan pendapat itu membina. Lebih elok tanya pendapat pakar bidang berkaitan.

0 comments: